Assalamualaikum...>_<
hari ni kelip-kelip ada bengkel tetang narrative journalism. bengkel ni menjemput penceramah dari luar negara, iaitu Profesor Janet E. Steele. Beliau ada memberikan tugasan yakni pemerhatian terhadap situasi dan kelip-kelip perlu mengarang satu berita berbentuk penceritaan. so, kelip-kelip memilih lokasi di rumah sewa kelip-kelip sendiri. watak yang dipilih ialah rakan serumah. hurmm,,,lagi senang la nak perhatikan..no dia hasil karya kelip-kelip: jom baca...
Prof. Janet E. Steele
Bunyi
cengkerik malam itu langsung tidak mengganggu tumpuannya. Mata mula beralih ke
arah skrin komputer setelah lama membaca serta menggariskan beberapa isi
penting yang diperoleh daripada beberapa buah buku yang tebalnya lebih kurang 1
inci. Jari mula menari menaip setiap idea yang dikumpul menggunakan bahasa
sendiri agar tiadanya unsur plagiat.
“Azie,
malam ni kita keluar makan dekat Warung 2000 nak?” Ajak rakan serumahnya, Asma
yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik. Mata yang tadinya asyik melihat skrin
komputer dialihkan tepat ke wajah rakannya. Dia menggeleng. Ajakan Asma ditolak
baik atas alasan perlu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah
Perancisnya. Katanya, dia perlu menyiapkan dua lagi tugasan yang perlu dihantar
pada minggu ini.
Air
milo panas di dalam cawan diteguk perlahan. Anak mata terus bergerak dari kiri
ke kanan, membaca setiap baris perkataan yang terdapat di dalam buku. Isi-isi
penting digariskan. Idea yang diperoleh melalui sumber yang kredibel ditaip
lagi seperti biasa. Namun, jari yang sebelumnya laju menaip maklumat berhenti secara
mengejut. Pandangannya dialihkan pula pada Syiera, seorang lagi rakan
serumahnya. “Patutkah dia menolak pelawaan Asma tadi?” Tanya Azie dengan
kerutan di dahi. “Kesian pula pada dia. Bukan tak nak pergi, tapi banyak lagi tugasan
yang perlu disiapkan. Kalau tak pergi, nanti Asma berkecil hati pula.”
Sambungnya. Nada suara kedengaran seperti rungsing.
Syiera
yang tadinya sedang membaca keratan berita yang diberikan oleh Profesor Janet
E.Steele memandang ke arah Azie. “Dia ajak aku pergi makan juga tadi. Tapi aku
tolak. Lagipun pagi esok aku perlu hantar tugasan daripada Profesor Janet.
Bimbang nanti tidak sempat menyiapkan tugasan itu. Kita pergi lain kali
sahajalah.” Tanpa berkata panjang, mata dialihkan semula ke arah helaian kertas
ditangannya.
Azie
membaiki kedudukannya daripada kedudukan bersila kepada membelunjurkan kakinya.
Bahunya di urut perlahan. Namun mata tidak lepas daripada terus membaca
buku-buku yang terdapat di atas sebuah meja kecil. Sebuah demi sebuah buku di
buka. Tidak cukup dengan itu, beberapa jurnal serta buku lain turut dibaca
secara atas talian. Jari mula memainkan peranan seperti biasa. Menaip dan terus
menaip maklumat. Daripada empat muka surat menjadi lima muka surat. Daripada
lima muka surat menjadi enam muka surat. Begitulah seterusnya.
Jarum
jam menunjukkan ke angka satu setengah. Mata yang tadinya bersinar kelihatan
sedikit merah. Tersengguk-sengguk kepalanya, namun tangan masih lagi berusaha
menaip sesuatu. Syiera yang tadinya sedang menyanyi sambil menyiapkan
tugasannya tersenyum ke arah Azie. “Tidurlah dulu zie, esok sambung lagi. Tapi
jangan lupa esok petang ada perbincangan untuk tugasan puan J.”
Azie
memandang Syiera. Giliran dia pula tersenyum. Tanpa berkata buku ditutup satu
demi satu. Kertas-kertas di tepinya disusun semula. Dia bangun lalu menggeliat.
Nafas ditarik panjang setelah tubuh direbahkan ke atas katil. “Esok jangan lupa
kejutkan aku awal sikit.” Pesannya. Syiera hanya mengangguk.
Mata
ditutup perlahan. Namun mulut sempat lagi menuturkan sesuatu. “Bukan senang
kalau nak senang.” Azie menarik selimut ke atas hingga menutupi bahagian
kepala. Suasana menjadi sepi. Hanya kedengaran lagu “Hero” nyanyian oleh Enrique
Eglasias yang dimainkan perlahan oleh Syiera.