Dalam melalui hari-hari kita, banyak dugaan yang
Allah kirimkan buat kita. Kenapa ujian itu dikirimkan buat kita??? Ia kerana
kasihnya Tuhan terhadap kita. Usahlah berkeluh kesah jika ujian Allah
mendampingi kita, sebaliknya berkeluh kesahlah jika tiada ujian buat kita.
Ujian itu merupakan petanda bahawa Allah sedang merindui kita. Allah merindui
suara rintihan kita memohon pertolongannya.
Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk. Ada
melalui kewangan, masalah keluarga, masalah di tempat kerja dan ada juga insan
yang diuji dengan masalah kesihatan.
Sama seperti sahabat kecil saya yang diuji dengan
masalah kesihatan. Baru- baru ini dia ada memberitahu saya bahawa doktor
mengesahkan bahawa dia ada petanda awal untuk menghidap barah otak. Kalau anda
semua diuji dengan penyakit tersebut, apakah reaksi anda? Kalau sayapun,
mungkin saya mengalami tekanan ketika mana menerima berita tersebut.
Namun apa yang saya boleh lihat pada sahabat saya
itu, dia sentiasa tersenyum. Tidak ditunjukkan sekelumitpun rasa sedihnya.
Katanya,” saya akan sentiasa
kuat selagi keyakinan saya bahawa Allah
sentiasa membantu ada bersama.”
Teruja saya mendengarnya.
Betapa kuatnya ketabahan dia dalam mengharungi
dugaan dunia yang sebenarnya hanya sementara. Baginya, dugaan Allah itu
sebenarnya rapuh. Ia boleh dileburkan dengan ketabahan dan kesabaran yang
tinggi.
Saya mohon kepada sahabat-sahabat saya untuk
mendoakan kesihatan sahabat baik saya. Semoga Allah menyembuhkan penyakitnya.
Amin…


